Ada kalanya kebun gaharu yang diusahakan tidak mempunyai kemudahan asas seperti air paip dan rumah berhampiran yang memudahkan pengusaha melepaskan lelah dan melaksanakan tanggung jawab yang lain seperti solat dan sebagainya.
Walaupun kebun gaharu kedua kami terletak di kawasan yang mempunyai akses elektrik dan air paip dan jalan berturap tar di jalan hadapan dan jalan belakang, di sebabkan kami tidak tinggal di atas tanah berkenaan kami melihat tidak ada keperluan pada masa ini (permulaan) untuk memasukkan air paip atau elektrik.
Kawasan kami alhamdulillah setakat ini mempunyai kadar hujan yang agak baik dan keadaan tanah tidak terlalu kering. Semasa pembersihan tanah daripada semak samun sebelum penanaman, kami meminta pemandu jentera back-hoe untuk menggali perigi bagi kegunaan am di kebun.

Perigi sedalam 8-10 kaki digali dengan menggunakan back-hoe dipenuhi air. Air boleh digunakan untuk menyiram pokok atau membersihkan peralatan dan sebagainya.
Pondok didirikan sebagai tempat berehat setelah penat menanam atau membersihkan kebun gaharu. Selain itu ia boleh digunakan untuk untuk menyimpan peralatan kebun atau baja sekiranya perlu (memerlukan ruang tertutup dan berkunci mengelak daripada kecurian).
Pondok berukuran 7 kaki panjang, 5 kaki lebar dan 7 kaki tinggi menggunakan sebahagiannya kayu terpakai. Menggunakan bumbung jenis ardex 8 kaki sebanyak 3 keping. Kos membeli barang-barang untuk pondok ini kurang seribu ringgit dan dibina sendiri dengan bantuan bapa. Pondok kecil ini cukup sebagai tempat berteduh dari terik matahari dan semasa hari hujan. Pondok dibina dengan ruang dinding terbuka bagi mengelak digunakan oleh orang lain untuk aktiviti-aktiviti tidak sihat.
Mempunyai 2 pangkin, atas dan bawah. Pangkin atas muat untuk 4 orang duduk-duduk, atau semasa makan tengahari. Manakala pangkin bawah cukup tinggi untuk berdiri bagi memudahkan solat dan arahnya mengadap qiblat.
Kelihatan perigi kebun di sebelah kanan ke belakang sedikit daripada pondok tersebut. Air perigi juga boleh digunakan untuk mengambil wudu'. Zaman sekarang ini bukan mudah nak jumpa perigi dan ianya digunakan apatah lagi untuk merasa bagaimana rasanya orang dulu-dulu menggunakan kemudahan asas yang serba kekurangan di zaman mereka. Pengalaman menarik juga tu.. terutamanya yang tinggal di bandar :)